Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan fasa pertama sepanjang 3.7 kilometer diharap dapat mengurangkan bencana banjir terutama di daerah Kota Bharu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata projek PLSB Sungai Kelantan fasa pertama itu menelan belanja RM572 juta.

"Keseluruhan projek PLSB, melalui 3 fasa menelan belanja RM9.6 bilion.

"Bagi fasa pertama projek akan dimulakan pada 29 Januari dengan jangkaan perlaksanaannya memakan tempoh masa 40 bulan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Projek PLSB Sungai Kelantan fasa pertama di Kota Bharu hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah Wan Junaidi pelaksanaan infrastruktur itu adalah terdiri daripada empat kompenen utama iaitu kompenen rancangan Tebatan banjir, Living River, Saliran Mesra Alam dan keseimbangan sungai atau (National Water Balance Management System).

Beliau berkata, projek itu dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 95,000 penduduk dari jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tanah Merah sekali gus tidak perlu melalui proses pemindahan jika berlaku banjir.

Lembaran sungai Kelantan mempunyai 12,981.185 kilometer persegi yang merangkumi 75 peratus keluasan sungai Kelantan dengan sungai utama sepanjang 107 kilometer.

Negeri Kelantan sentiasa terdedah kepada banjir pada musim tengkujuh bermula September hingga Februari.