Kerajaan sebelum ini memberi banyak kelonggaran kepada rakyat secara berperingkat selepas membuka hampir semua sektor ekonomi bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, berkuatkuasa 4 Mei lalu, pengunjung mula dibenarkan makan di restoran berbanding peraturan hanya boleh bungkus dan membawa pulang makanan pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hari ini, selepas lebih dua bulan premis makanan beroperasi secara 'dine in', sejauh mana pematuhan SOP oleh pengusaha dan pekerjanya?

Susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad yang telah mengenalpasti tiga kluster baharu COVID-19 termasuk satu kluster melibatkan sebuah restoran di Brickfields, di Kuala Lumpur, Astro AWANI melakukan tinjaun pematuhan SOP di beberapa premis di lokasi berkenaan.

Hasil tinjauan mendapati, ada segelintir pemilik premis makanan yang tidak mematuhi SOP.

Kami dapati ada premis tidak mengambil butiran maklumat pelanggan, tidak menyediakan cecair pembasmi kuman,malah, tidak mengambil suhu badan mereka.

Apa yang dapat diperhatikan, kebanyakan mereka adalah premis-premis makanan yang kecil.

Manakala, premis makanan yang lebih besar termasuk restoran dalam pasar raya dilihat tiada masalah dalam mematuhi SOP.

Masalah kekurangan pekerja juga mungkin menyumbang kepada isu ketidakpatuhan SOP, berbanding restoran-restoran lebih besar yang ada tenaga kerja yang lebih ramai.

Sundaram akui tidak selesa dengan premis tidak patuh SOP

Bagi seorang penasihat kewangan, Sundaram Muthu, beliau mengakui ada restoran di ibu negara yang tidak mematuhi SOP dan mereka mengakui tidak selesa dengan keadaan itu.

"Bagi saya kalau ikutkan kepada shopping complex memang ada yang patuh. Memang kalau hendak masuk kena tulis nama, ambil suhu dan memang kebanyakan shopping complex memang dia ikut. Namun kalau bandingkan kedai-kedai makan dekat luar, macam penjaja dekat gerai-gerai makanan, memang ramai jarang nak ikut SOP," katanya kepada Astro AWANI di sini.

BACA: Tiga kluster baharu: Kluster Rumah Kongsi Sepang, Restoran Brickfield, Jeti Kuching

Bagaimanapun apa yang penting, selain SOP disediakan premis, pengunjung juga perlu memastikan ada kawalan kendiri.

Muamar Zil tidak akan masuk premis yang tidak patuh SOP

Bagi pelajar sebuah universiti awam, Muamar Zil Haniff, beliau menasihatkan mana-mana pengunjung agar tidak memasuki premis yang tidak patuh SOP.

"Kebiasaannya kedai makan yang saya pergi, kebanyakannya memang ada SOP ini, tetapi yang tidak ikut SOP termasuk tidak tulis nama, kalau boleh saya elakkan pergi kedai macam tu sebab kita tidak tahu apa-apa akan jadi di situ," ujarnya.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa terus bersikap tegas terhadap pemilik premis makanan yang gagal mematuhi SOP dan memastikan kesalahan itu tidak berulang.