Selepas mengalami fasa suram ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini Pekan Rabu di Alor Setar kembali dikunjungi pelancong luar dan tempatan, sekali gus melegakan peniaga.

Masih dalam mood sambutan Aidilfitri, PKP Pemulihan (PKPP) memberi peluang kepada warga kota untuk pulang ke kampung, seterusnya membolehkan mereka berkunjung ke kompleks yang terkenal ini.

Peniaga berkata, dianggarkan lebih 5,000 pengunjung mengunjungi kompleks berkenaan bagi mendapatkan pelbagai barangan seperti kuih tradisional, kain batik, keropok dan barangan kemas.

Peniaga kuih, Zuliza Ali, 52, berkata kebenaran melakukan rentas negeri menerusi PKPP memberi peluang kepada pelancong luar masuk ke negeri itu.

Menurutnya, sejak kelonggaran itu diberikan, Pekan Rabu kembali ceria dan hasil jualannya juga meningkat berbanding sebelum ini.

"Alhamdulillah kini orang sudah boleh balik kampung, datang ke Kedah untuk melancong. Jadi, ramai yang singgah ke Pekan Rabu.

"Walaupun belum ramai seperti sebelum PKP, tapi perubahan itu sudah ada. Tidak lagi seperti sewaktu PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) yang hampir tiada langsung pengunjung dulu.

Sementara itu, Hafiz Supri, berkata dia masih meneruskan jualan secara dalam talian walaupun trend pembelian di kedai oleh orang ramai kelihatan semakin meningkat.

"Dengan sekatan sebelum ini, memang banyak barang kami tak terjual, jadi walaupun sekarang orang sudah boleh datang ke kedai, kami tetap teruskan jualan secara dalam talian.

"Walaupun untuk tidak besar, tapi lebih baik daripada barangan tidak terjual. Kami berharap suasana akan kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, bagi sesetengah pengunjung, kesempatan pulang ke kampung tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi Pekan Rabu untuk mendapatkan barangan yang wajib ada setiap kali hari raya.

Adriana Alani Mat Zuki, 23, yang berkerja sebagai jururunding syarikat swasta di Kuala Lumpur, cuti singkat yang diperolehi ketika PKPP membolehkan dia pulang ke kampung di Alor Setar.

"Pekan Rabu ini adalah satu tempat pelancongan yang terkenal di Kedah. Jadi kami sendiri, setiap kali balik akan datang untuk membeli barang bagi dibawa pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

Tinjauan Astro AWANI mendapati kawasan Pekan Rabu sesak mula antara 9 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari, dengan kehadiran ramai pengunjung.

Peniaga dan pengunjung bagaimanapun dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk mendaftar nama dan menjaga penjarakan sosial di kawasan itu.