Tidak mustahil persidangan parlimen dapat dijalankan, walaupun ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan COVID-19, kata Yang di-Pertua Parlimen Digital, Lim Jit Wei.

Ketika berucap merasmikan Parlimen Digital yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, Lim berkata, ia antara mesej dan objektif yang ingin disampaikan oleh pihak penganjur.

Dengan penggunaan teknologi yang betul, persidangan Dewan Rakyat juga katanya dapat berlangsung dengan jayanya.

"Terdapat dua objektif utama penganjuran Parlimen Digital. Pertama, ianya untuk membuktikan bahawa persidangan parlimen secara digital, jarak jauh, atau dalam talian adalah tidak mustahil sama sekali. Dan boleh menjadi kenyataan jika mempunyai iltizam untuk berbuat sedemikian.

“Kedua, ianya untuk mengorientasikan perbualan nasional yang dijangkiti kemaruk politik sekian lama kepada polisi-polisi segera yang Malaysia perlukan untuk mengharungi impak ekonomi dan sosial wabak COVID-19,” katanya lagi.

Berucap lanjut, Lim yang juga merupakan seorang peguam berkata, beliau mewakili penganjur amat berbangga kerana komposisi Parlimen Digital telah merentasi semua lapisan masyarakat, dan lebih inklusif daripada banyak persidangan parlimen yang lain.

Persidangan dalam talian itu, dianjurkan secara bersama oleh Challenger Malaysia, UNDI18, Liga Rakyat Demokratik, dan Persatuan United Nation Malaysia.

Seramai 222 belia yang terpilih mewakili parlimen masing-masing, akan menggunakan kesempatan yang diberikan bagi membincangkan dasar dan polisi yang bersesuaian untuk negara ini.

Antara yang menarik perhatian sewaktu persidangan Parlimen Digital ialah ucapan dari Wakil Parlimen Digital Subang, Muhammad Shakir Shaharuddin yang merasakan perlunya ada pelan rangsangan ekonomi khusus untuk golongan belia.

Mengambil pemberian moratorium sebagai contoh, beliau berkata, sekiranya ia dapat dilanjutkan khususnya bagi golongan belia dan bukannya hanya bagi golongan sasar, ia akan memberi manfaat kepada ekonomi negara.

“Golongan belia juga mungkin merupakan golongan yang sering dilepaskan jawatan oleh kerana polisi “last in, first out”.

“Ini menyebabkan mereka kehilangan pendapatan. Sekiranya moratorium ini dapat dilanjutkan, ia akan memberi sedikit ruang untuk golongan belia bernafas untuk menghadapi krisis kewangan yang mereka lalui kerana akan adanya jumlah wang tunai yang sepatutnya digunakan oleh mereka untuk membayar pinjaman bank,” katanya lagi.

Sementara itu, Wakil Parlimen Kubang Kerian Ahmad Fadlullah Mohamed Rafi’e membangkitkan cadangan jangka pendek bagi COVID19 dan cadangan bagi penstrukturan semula dasar kebajikan negara bagi memperuntuk semula sumber negara untuk menjadikannya lebih berkesan.

“Bagi jangka pendek, kerajaan boleh menyediakan peluang pekerjaan sementara kepada golongan yang kehilangan pekerjaan mahupun graduan yang baharu sahaja menamatkan pengajian yang majoritinya golongan belia.

"Berdasarkan statistik sekarang 15 peratus rakyat berumur 15 hingga 24 tahun dan 9 peratus daripada yang berumur 15 hingga 30 tahun tidak bekerja yang jauh lagi tinggi daripada tahap pengangguran nasional iaitu 5 peratus.

“Bagi jangka masa panjang, sudah tiba masanya untuk kerajaan memperincikan bagaimana untuk melahirkan graduan yang memenuhi kriteria pasaran semasa setelah terlampau banyak lambakan siswa,” katanya lagi.