Seramai 356 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Mereka merupakan sejumlah besar daripada 358 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Hong Kong, China dan Jepun.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, dua daripada mereka dihantar hospital.

“Dari 10 sehingga 24 Jun 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 5,451 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

“Daripada jumlah ini, 5,423 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing (home quarantine).

“28 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas berkenaan pemeriksaan tapak binaan, Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 113 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 161 penguatkuasa pada Rabu.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 72 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan dan 11 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala 30 tapak binaan tidak beroperasi.

“Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,372 tapak binaan dan 457 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Penguatkuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya.