Perkhidmatan feri penumpang dari Jeti Penumpang Kuala Kedah ke Terminal Penumpang Kuah, Langkawi dan sebaliknya dihentikan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam sehingga 25 Sept.

Jabatan Laut Malaysia dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, ini selaras dengan PKPD pentadbiran yang dikuatkuasakan di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah selama tempoh berkenaan.

"Sehubungan dengan itu, para penumpang feri yang ingin ke Terminal Penumpang Kuah, Langkawi hendaklah menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Kuala Perlis," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut menjangkakan akan berlaku pertambahan mendadak pengguna di Terminal Feri Kuala Perlis dalam tempoh dua minggu ini.

"Sehubungan itu, bagi mengelak sebarang kesulitan penumpang dinasihatkan merujuk terlebih dahulu jadual pergerakan feri melalui pautan http://time.langkawiferryline.com," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sebarang pertanyaaan boleh diajukan kepada pegawai bertugas di Pejabat Laut Kuala Perlis, Khairul Azhar di talian 04-985 4160/ 019-589 6881 atau mana mana operator feri yang berkenaan.

-- BERNAMA