Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hampir semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei ini.

Jelas beliau, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi.

“Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” kata beliau dalam Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan turut tidak dibenarkan, setakat ini.

Ia termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium.

Bagaimanapun, aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

“Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.

Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya.