Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengarahkan pengurusan masjid dan surau yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya membuat sistem penggiliran bagi menentukan kehadiran ahli kariah.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, sistem itu bagi membolehkan lebih ramai ahli kariah mendapat peluang untuk berjemaah termasuk solat Jumaat dan terawih di masjid serta surau terpilih.

Katanya, pelaksanaan sistem penggiliran itu diserahkan sepenuhnya kepada pengurusan masjid dan surau untuk menentukan jemaah masing-masing tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Pemilihan ahli kariah dalam sistem giliran ini akan ditentukan oleh pengurusan masjid serta surau dan JAWI menyerahkannya kepada kebijaksanaan mereka untuk menentukan jemaah yang boleh hadir ke masjid atau surau.

"Kita mempunyai solat Jumaat seminggu sekali, solat fardu lima kali sehari dan solat Terawih pada setiap malam dalam bulan Ramadan ini.

"Ini bermakna, kalau mereka dapat membuat giliran dengan baik, walaupun dengan had maksimum 30 orang setiap masa, saya pasti akan menggembirakan ramai ahli kariah dan mereka akan berpuas hati," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

BACA: Solat berjemaah di Wilayah Persekutuan dibenarkan di masjid, surau terpilih

BACA: Hanya Masjid Negara dibenarkan solat Jumaat, berjemaah

Dalam pada itu, Mohd Ajib berkata, secara keseluruhan terdapat 89 masjid dan 111 surau Solat Jumaat dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 25 masjid dan 31 surau yang berada dalam zon hijau termasuk Masjid Negara dibenarkan melaksanakan solat berjemaah dengan beberapa syarat SOP tertentu," katanya.

BACA: Solat Jumaat dibenarkan? Ini apa yang anda perlu tahu