Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) melalui Gabungan Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini menyampaikan sumbangan #MusaadahCOVID19 bagi komuniti bukan Muslim di kejiranan Kampung Pandan di sini.

JAWI dalam satu kenyataan berkata, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan bagi meringankan beban rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi getir tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya.

“Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail telah menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepong, susu pekat dan lain-lain kepada 50 orang ketua keluarga bukan Muslim di kejiranan Masjid Ar Rahimah, Masjid As-Sodiqin, Masjid Al-Imam As-Syafie dan Masjid Jamek Alam Shah.

“Nilai keseluruhan bantuan berjumlah RM5,000 dijangka akan memberikan manfaat kepada seramai 300 orang ahli keluarga pelbagai bangsa seperti India, Cina dan Sikh,” kata kenyataan itu.

Sumbangan itu sebagai tanda keperihatinan bagi meringankan beban rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi getir tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya. - Foto JAWI

JAWI pada masa akan datang bercadang memperluaskan lagi inisiatif itu di zon-zon lain sekitar Wilayah Persekutuan.

Mengulas berkenaan Program JAWI Food Bank (JFB) yang dilaksanakan di bawah inisiatif sama, sehingga kini 62,271 pek makanan telah diagihkan bernilai RM521,289.

“JAWI Food Bank dengan kerjasama masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan serta rakan strategik memberikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 seperti hospital, klinik kesihatan, polis, petugas stesen penyiaran serta rakan jalanan (gelandangan) dan ahli kariah yang terjejas dan memerlukan sepanjang tempoh PKP,” kata kenyataan itu lagi.