Kementerian Wilayah Persekutuan memberikan diskaun sebanyak 30 peratus ke atas pajakan 108 lot tanah milik Perbadanan Labuan selama lima bulan sehingga Julai 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bantuan itu adalah di bawah Inisiatif Wilayah Cakna kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro di Labuan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, diskaun itu melibatkan tanah milik Perbadanan Labuan yang dipajakkan kepada 85 syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan minyak dan gas, logistik, komersial, kejuruteraan serta pelancongan.

"Keseluruhan kos yang ditanggung kerajaan untuk tujuan pemberian diskaun ini adalah sebanyak RM987,000 bagi tempoh Mac hingga Julai melibatkan 95 perjanjian.

"Sebanyak 78 perjanjian melibatkan kadar pajakan di bawah RM10,000; 17 perjanjian bagi kadar pajakan antara RM11,000 hingga RM50,000 dan satu perjanjian bagi kadar melebihi RM100,000 sebulan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Annuar berkata, penambahan Inisiatif Cakna itu dapat meringankan beban ditanggung syarikat terbabit yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP dilaksanakan.

"Ini adalah selari dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi mengatasi penularan COVID-19.

"Syarikat terlibat boleh menghubungi Jabatan Penilaian, Pelaburan dan Pengurusan Harta PL di talian 087-408650 bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya.