Pemilik akaun Twitter @pipiyapong, yang ditahan semalam bersabit kenyataan berbaur penghinaan kepada Tunku Mahkota Johor, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan di Kuala Lipis, Pahang, pada 11.15 pagi semalam.

"Pada 4 Mei lepas, satu laporan polis bersabit Tampoi Report 8704/2019 telah dibuat oleh seorang lelaki awam berumur 37 tahun berkaitan satu posting (hantaran) oleh pemilik akaun Twitter bernama 'pipiyapong'.

"Posting tersebut mengandungi kenyataan-kenyataan berbaur penghinaan yang ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Pada 9.05.2019 jam 1115 hrs, satu tangkapan telah dilakukan ke atas seorang lelaki berumur 36 tahun di Kuala Lipis, Pahang yang merupakan pemilik akaun twitter 'pipiyapong' untuk siasatan bersabit dengan kes ini.

"Suspek telah diberikan jaminan polis pada 10.5.2019 setelah tindakan polis terhadap suspek telah dilaksanakan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seperti dilaporkan hari ini menyatakan kekesalan terhadap penahanan seorang penggiat media sosial berikutan ciapannya di Twitter mengenai seorang anak raja.

Dr Mahathir menegaskan rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu dan kebebasan bersuara adalah penting dalam sesebuah negara demokrasi.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Twitter bertitah Istana Johor tidak membuat sebarang laporan polis.

-- BERNAMA