Jika benar dan terbukti dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ia merupakan suatu yang serius dan mengecewakan.

Ahli Parlimen Rembau dan bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin mendakwa banyak perkara mengenai 1MDB termasuk pindaan laporan audit itu tidak pernah dimaklumkan Najib kepada jemaah menteri.

“Banyak perkara yang tidak dilaporkan kepada jemaah menteri. Kalau betul berlaku arahan untuk memadamkan kehadiran Jho Taek Low di mesyuarat lembaga pengarah 1MDB ini adalah satu tindakan serius yang mengecewakan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau ditanya berhubung kenyataan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan Najib, semalam.

Khairy juga mendapati berlakunya pencanggahan kenyataan antara bekas perdana menteri dan ketua audit negara itu.

Sehubungan itu, beliau berharap siasatan yang dilakukan dapat merungkai kebenaran mengenai isu tersebut.

Tambahnya beliau juga berpendapat tidak wajar laporan audit negara dipinda kerana sifatnya perlu bebas dan berkecuali.

“Laporan tidak boleh diarah untuk dipinda dan sebagainya. Saya sebagai menteri pun banyak kali kementerian saya disiasat diaudit ditegur dan kita terima sebab itu perkara biasa dalam kerajaan," katanya.