Pulau Pinang bakal menerima sebuah terminal tambang rendah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas berikutan lapangan terbang itu telah melangkaui kapasiti maksimumnya tahun lepas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini juga susulan hasil perbincangan yang positif di antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan AirAsia.

"Kami hampir pasti membangunkan LCCT di Pulau Pinang berikutan perbincangan yang agak positif di antara MAHB dan AirAsia. Kami akan menggunakan kerangka kerja yang agak berbeza dalam pembinaan LCCT di sini," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.

Beliau berkata pembinaan LCCT di Pulau Pinang akan menggunakan konsep Perkongsian Awam Swasta Profesional dan Rakyat (PPPP) yang membolehkan AirAsia membina dan menanggung sendiri kos pembiayaan terminal baharu itu.

"Kami boleh besarkan lagi lapangan terbang sedia ada namun dari mana hendak dapatkan dana? Atas sebab itulah kami menimbang LCCT, agar kami boleh capai volum dan juga mereka yang sanggup melabur," katanya.

Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan menyuarakan hasrat untuk membina LCCT tersebut semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Chow Kon Yew.

Sementara itu, Lim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih, berkata kerajaan persekutuan dan MAHB berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan bagi memperbesarkan PIA, sekali gus mendorong kerajaan menimbang kerangka kerja PPPP.

"Kami merancang untuk menggunakan konsep sama bagi pembinaan Pelabuhan Pulau Pinang dan kami harap kesemua projek ini akan berjalan lancar," katanya.

Sebelum ini dilaporkan PIA yang direka untuk menampung 6.5 juta penumpang setahun merekodkan pengendalian 7.2 juta penumpang tahun lepas. -- Bernama