Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) akan memperuntukkan perbelanjaan AS$12 bilion (kira-kira RM49 bilion) bagi tempoh 18 tahun yang akan memberi fokus kepada projek produk khusus kimia.

Menurut Ketua Komersial PCG Shamsairi Mohd Ibrahim ketika ini pihaknya telah menyenaraikan 20 projek berpotensi dibangunkan di Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Kerteh, Terengganu atau di luar negara.

“Ketika ini pun banyak syarikat yang mengetuk pintu kami. Baru-baru ini kami ada membuat pengumuman mengenai Syarikat Da Vinci yang telah bekerjasama dengan kami dan akan ada lagi namun masih dalam proses rundingan dan perbincangan yang berterusan.

“Kita sasarkan syarikat luar negara bagi membolehkan kebaikan dicapai bersama,” katanya ketika ditemui media dalam lawatan ke tapak projek Petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), di Pengerang, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shamsairi menyatakan ketika ini PCG mempunyai 2 peratus produk berasaskan komoditi dan menyasarkan sebanyak 25 peratus peningkatan produk portfolio berdasarkan kepelbagaian produk dan produk khusus menjelang 2037.

“Kompleks ini kita ada loji penapisan minyak, perekah wap (steam cracker) dan petrokimia, kita nak pergi jauh lagi ke bawah untuk hasilkan bahan untuk produk seperti minyak wangi, vitamins, makanan haiwan dan sebagainya, ini yang dipanggil produk khusus kimia.

Ketika ini, PCG menjalankan perniagaan pembuatan, pemasaran dan penjualan pelbagai jenis produk kimia seperti polimer, metanol dan produk derivatif yang lain.