Ekoran pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), peruntukan agensi penguat kuasa itu yang berjumlah RM4.5 juta akan dipindahkan ke Kementerian Pengangkutan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata peruntukan itu telah dipecahkan kepada dua bahagian di dalam kementerian dengan tujuan tertentu untuk pentadbiran dan urus tadbir yang lebih efisien dan teratur.

"Peruntukan itu dipecahkan kepada dua iaitu RM2 juta kepada satu sistem baharu yang berkaitan dengan pemandu-pemandu, dipanggil Driver Information System dan RM2.5 juta lagi adalah untuk perolehan kenderaan," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2018 bagi kementeriannya.

Katanya pembubaran dan pengambilalihan fungsi SPAD oleh Kementerian Pengangkutan turut menyumbang kepada penjimatan peruntukan kewangan kerajaan.

"Ini kerana fungsi SPAD boleh dilaksanakan oleh agensi dan pegawai kerajaan tanpa perlu diperbadankan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata urusan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) perlu dipermudahkan bagi membantu golongan usahawan yang memerlukan modal tambahan untuk menjalankan perniagaan mereka.

Beliau berkata halangan-halangan seperti birokrasi yang wujud dalam urusan peminjaman tersebut mesti dikurangkan.

"TEKUN mempunyai dana mencukupi untuk membantu usahawan kecil di seluruh negara. Meskipun laporan Ketua Audit Negara menunjukkan wujudnya tunggakan hutang namun ia dikategorikan sebagai hutang lapuk.

"Usaha mengutip hutang yang dikategorikan sedemikian terus giat dijalankan dan TEKUN telah berjaya mengumpul lebih RM100 juta," katanya menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2018 bagi kementeriannya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA