Kementerian Pendidikan telah meluluskan hampir 16,000 permohonan pertukaran kes guru 'duka lara' daripada 30,000 keseluruhan permohonan kategori itu bagi tempoh 1 Dis 2015 hingga 1 Jan 2018.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata 7,000 permohonan lagi akan diproses sebelum penempatan baharu dilaksanakan pada Jun.

"Program atas dasar kemanusiaan ini kita terapkan untuk membolehkan suami isteri balik ke satu tempat dan tidak semestinya suami dan isteri guru, ada juga polis, bekerja di hospital dan lain-lain.

"Yang tujuh dan lapan tahun (tinggal berasingan) kebanyakannya dah kurang, yang ada ini baki bawah lima tahun dan akan kita kurangkan jumlah yang tinggal berasingan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kerjasama strategik melalui Program Transformasi Digital dan Pembelajaran Abad ke-21 antara Kementerian Pendidikan dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dan Pengerusi TM Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.