Sarawak melakar sejarah apabila menganjurkan persembahan hadrah terbesar melibatkan 1,100 pemain dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records.

Penganjuran itu juga sempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage 2019 di Padang Merdeka Kuching, pada Sabtu.

Bagi Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, zaman kegemilangan warisan seni budaya Melayu Sarawak ini perlu dihidupkan semula.

Kata beliau, biarpun Sarawak komited ke arah negeri termaju pada tahun 2030 menerusi ekonomi digital, ia perlu diseimbangkan dengan ekosistem yang komprehensif termasuk mengekalkan warisan yang ada.
"Orang melayu mempunyai budaya yang halus. Kalau berkomunikasi pun dia gunakan pantun. Sindir-sindiran. Kalau nak meminang pun bersindir. Sik (tidak) ada kita nak merampas anak orang.

"Kita memulakan dengan bunga di taman. Bolehkah saya memetik bunga di taman. Jawapannya memang taman saya ada bunga yang mekar. Bunga telurkah, bunga teratai. Ini cara kita orang Melayu. Sangat halus seninya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage 2019 di Padang Merdeka, Kuching.


Tambah Abang Johari lagi, kerajaan negeri bersungguh dalam menjayakan Warisan Kuching Lama yang disifatkan sebagai mewariskan budaya tradisi kepada generasi baharu.

"Kita hendak mengangkat budaya ini sebab itu kita ada Old Kuching Heritage. Kita akan tingkatkan prasarana dan kemudahan yang ada di Kuching untuk kita mendaulatkan budaya kita yang halus," katanya.