Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 23 Sept depan untuk mendengar permohonan pihak pembelaan bagi memindahkan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah US$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pendengaran permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

"Pihak-pihak telah diarahkan untuk memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 17 Sept,"katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som.

Beliau berkata pihak pendakwaan telah memfailkan afidavit balasan pada 23 Ogos lepas berhubung permohonan pihak pembelaan.

Peguam Syazwani Mohd Zawawi yang mewakili Riza ,42, memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah memfailkan afidavit berkaitan permohonan itu pada 16 Ogos lepas.

Ditanya alasan pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes Riza dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi peguam itu berkata antaranya ialah kes itu melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks dan juga membabitkan isu-isu 1MDB.

Ahmad Akram pula berkata pihak pendakwaan membantah permohonan pembelaan kerana kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar dan rumit.

"Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob adalah kompeten untuk mendengar kes ini. Sekiranya kes pindahkan ke Mahkamah Tinggi ia akan melengahkan prosiding,"katanya kepada media ketika ditanya alasan pendakwaan membantah permohonan pembelaan.

Pada 5 Julai lepas, Riza, 42, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS.

Riza yang merupakan anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 Sept 2012 dan 10 Okt 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Okt 2012.

Mengikut pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA