Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata permit pengecualian pergerakan antara negeri ditangguh sementara waktu.

Ia susulan orang ramai yang berpendapat bahawa mereka boleh melakukan pergerakan jika mereka mendapat kelulusan daripada pihak polis.

“Kesesakan yang serius berlaku di balai dan perhentian bas.

“Sedangkan mereka yang layak diberi pengecualian yang boleh dipertimbangkan untuk diberi kebenaran melakukan pergerakan rentas negeri.

“Sebagai langkah awal untuk mengatasi masalah ini, maka keperluan untuk mendapatkan pengecualian di bawah perintah kawalan pergerakan ini ditangguhkan buat sementara waktu bagi menyelesaikan kesesakan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak tesebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Jangan serbu balai polis, arahan mengisi borang ditarik balik sementara waktu - KPN

Kenyataan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Terdahulu, Abdul Hamid berkata pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang terpaksa melakukan pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab berikut:

1. Kematian ahli keluarga terdekat

2. Sakit tenat ahli keluarga

3. Rawatan perubatan diri sendiri/keluarga

4. Lain-lain perkara atas budi bicara Ketua Polis Balai


Difahamkan, keputusan baharu mengenai pergerakan ke negeri lain akan diumumkan pada Rabu selepas mesyuarat berhubung perkara itu diadakan.

Orang ramai tetap dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan dan mengikut arahan yang diberikan dari masa ke semasa.

Ia susulan perintah kawalan pergerakan yang telah berkuatkuasa 12 tengah malam pada 18 Mac.