Perkhidmatan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Polis Negara akan disambung secara kontrak selama setahun, selepas tarikh persaraan wajibnya pada 17 Mac ini, demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Noor Rashid akan bersara wajib pada usia 60 tahun, pada tarikh itu.

Kementerian Dalam Negeri sedang menunggu surat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V terhadap pelantikan itu, katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri 2017 di sini hari ini.

Noor Rashid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis pada Disember 2014.

Noor Rashid yang berasal dari Yan, Kedah, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Universiti Malaya dan memulakan perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) pada 1984.

Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan untuk mengisi jawatan kedua tertinggi PDRM itu, antaranya Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Tajuddin Md Isa dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mengenai perkara lain, Ahmad Zahid berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd masih bertugas walaupun ada desakan supaya beliau digantung tugas atau diarah bercuti ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

SPRM dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap Wan Ahmad Najmuddin selepas laporan dibuat mengenai pegawai kanan polis itu mempunyai akaun bank Australia yang menerima deposit sejumlah besar wang, dan kini dibekukan.

"Beliau telah menjelaskan mengenai akaun bank beliau di Australia itu,” kata timbalan perdana menteri.

Ahmad Zahid berkata SPRM atau mana-mana agensi boleh menyiasat Wan Ahmad Najmuddin tetapi beliau boleh bertugas seperti biasa dan tidak perlu bercuti.

Sydney Morning Herald melaporkan Polis Australia telah membekukan AUD$320,000 (RM975,792), yang dipindahkan tanpa mematuhi undang-undang Australia ke dalam akaun Australian Commonwealth Bank Wan Ahmad Najmuddin pada 2016.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Bukit Aman telah diberitahu mengenai kewujudan akaun itu dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM telah menjalankan sisatan dalaman dan membersihkan Wan Ahmad Najmuddin daripada sebarang salah laku.

Beliau berkata Wan Ahmad Najmuddin telah memberikan dokumen-dokumen berkaitan yang membuktikan wang itu daripada hasil jualan rumahnya di Shah Alam yang ketika itu bernilai RM700,000.

-- BERNAMA