Permintaan tinggi terhadap perkhidmatan penghantaran makanan telah membantu perniagaan restoran berjalan lancar walaupun negara kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 31 Mac, susulan wabak COVID-19.

Beberapa pemilik restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang menyifatkan medium perniagaan menerusi servis penghantaran makanan dengan menggunakan foodpanda, GrabFood serta DeliveryEat membantu perniagaan masing-masing berjalan lancar.

Biarpun tidak semeriah dulu dengan pemandangan pelanggan beratur untuk membeli makanan, Pengurus Restoran Nasi Kandar Deens Maju, Mohamed Ismail Mohamed berkata restoran itu masih menerima ratusan pelanggan setiap hari.

Beliau berkata pihaknya memulakan perniagaan seawal 12 tengah hari berbanding sebelum ini pada 1 tengah hari kerana tempahan menerusi GrabFood dibuka seawal 10.30 pagi bagi memudahkan orang ramai terutama pelanggan tetap.

"Jumlah pelanggan boleh dikatakan berkurangan, tapi Alhamdulillah kami masih dibenarkan untuk membuka restoran jadi orang ramai masih boleh datang untuk beli secara bungkus," katanya kepada Bernama.

Seorang pemilik restoran nasi Melayu di Butterworth, Roziah Mohd Jusoh, 45, berkata selain menyediakan makanan untuk dibungkus, restorannya juga menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah atau pejabat kepada pelanggan.

Katanya selain itu, beliau juga menawarkan diskaun kepada pelanggan yang membeli dalam kuantiti yang banyak dan mengiklankan makanan yang dijual menerusi Facebook, WhatsApp serta aplikasi media sosial yang lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia Sayantan Das berkata syarikat itu beroperasi seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan akan melaksanakan penghantaran tanpa sentuh.

Selain itu, beliau berkata syarikat itu juga mengutamakan keselamatan dengan memperkenalkan langkah baharu bagi memastikan pelanggan berasa selamat ketika menggunakan perkhidmatan foodpanda.

"Hab penghantar kami menyediakan pencuci tangan pembasmi kuman dan penutup hidung dan mulut kepada penghantar serta mereka diminta mencuci tangan setiap dua jam dan setiap kali selepas membuat penghantaran," katanya sambil menambah pelanggan dan penghantar makanan boleh memilih untuk penghantaran tanpa sentuh apabila membuat pesanan serta pembayaran dalam talian.

Penghantar makanan GrabFood, Mohd Faiz Johan berkata beliau memperoleh pendapatan sebanyak RM170 pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dan trafik juga lancar pada hari berkenaan.

"Apabila trafik lancar, ia memudahkan pergerakan dan mempercepatkan masa penghantaran," katanya kepada Bernama.

Mohd Faiz, 33, berkata memandangkan terdapat permintaan tinggi terhadap perkhidmatan penghantaran makanan, pemandu GrabCar boleh memilih untuk menjalankan perkhidmatan penghantaran berasaskan kereta, GrabFood Car, bagi menambah pendapatan mereka.

Penghantar makanan sepenuh masa DeliveryEat, Muhammad Fauzi Ali, 26, berkata permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran makanan bertambah berbanding hari biasa terutama ketika waktu puncak.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, purata penghantaran bagi penghantar makanan sepenuh masa adalah antara 17 hingga 20 perjalanan setiap hari.

"Sebelum ini, penghantaran tidak sebanyak ini semasa hujung minggu. Pada hari biasa, penghantar makanan sepenuh masa biasanya hanya dapat melakukan dari 13 hingga 18 perjalanan manakala yang bekerja separuh masa dapat membuat kurang daripada 10 penghantaran," katanya.

-- BERNAMA