KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan dua program iaitu Workplace Health Promotion Seminar 2020 dan Activ@Work Challenge 2019 Award Ceremony yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre (WTC) di sini, hari ini.

Program yang bertujuan mempromosikan pembudayaan kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja itu turut menghargai pemenang yang mengambil bahagian dalam Activ@Work Challenge yang diadakan antara September hingga November tahun lalu.

Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang Activ@Work Challenge 2019.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata PERKESO sentiasa memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan mental setiap pekerja sentiasa dilindungi ketika berada di tempat kerja.

“Salah satu tanggungjawab PERKESO adalah memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja daripada kejadian yang tidak diingini termasuk ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh non-communicable diseases (NCD) atau penyakit tidak berjangkit.

“Majikan harus memandang serius promosi kesihatan di tempat kerja kerana kajian menunjukkan bahawa perbelanjaan terhadap kos perubatan serta ketidakhadiran pekerja dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sejak 2010, PERKESO mendapati bilangan kes Pencen Ilat dan Pencen Penakat akibat NCD telah meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Pada 2019, seramai 22,591 pencarum PERKESO telah dilaporkan ilat akibat NCD dan daripada jumlah itu, sebanyak 7,236 kes kematian akibat NCD telah dilaporkan iaitu secara purata sebanyak 20 kes kematian sehari.

Berikutan itu, inisiatif yang diambil oleh PERKESO dan KSM dalam menangani isu tersebut secara tidak langsung dapat mencegah statistik tersebut daripada terus meningkat.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, berkata usaha dan komitmen PERKESO dan BookDoc dalam mengadakan program tersebut haruslah dipuji.

“Saya difahamkan seramai 237 majikan dan lebih 30,000 pekerja menyertai Activ@work Challenge 2019. Dalam konteks ini, diharapkan PERKESO akan meneruskan dan memperjuangkan usaha pencegahan dan pemulihan serta inisiatif untuk menjaga kesejahteraan pekerja kita di negara ini,” katanya sebelum merasmikan majlis itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan merasmikan majlis Workplace Health Promotion Seminar 2020 - Activ@Work Challenge 2019 Ceremony Award di World Trade Centre hari ini.

Selain itu, seminar yang berlangsung hari ini juga turut menghargai pemenang Activ@Work Challenge 2019 terdiri daripada kategori majikan dan pekerja, iaitu ruby, emerald, sapphire, amethyst dan government.

Pemenang kategori majikan, Ir. Wan Amizan Wan Yunus daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), berkata kesejahteraan dan keselamatan pekerja menjadi fokus dan teras organisasinya.

"Keadaan ini akan dapat meningkatkan produktiviti pekerja seterusnya mewujudkan suasana positif di tempat kerja. Ia akan membolehkan kerjasama dengan syarikat serta agensi lain dilaksanakan dengan baik," katanya.
Pemenang kategori majikan, Ir. Wan Amizan Wan Yunus dari tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, pemenang kategori pekerja, Norlina Sulaiman daripada Medivest Sdn Bhd pula berkata, pihak pengurusan sentiasa memastikan setiap kakitangan dapat meluangkan masa dan menjalin hubungan yang baik antara satu sama lain.

“Melalui semua aktiviti yang dijalankan, absenteeism dalam kalangan pekerja menurun dan tiada staf yang jatuh sakit ketika COVID-19 kerana kesihatan fizikal dan mental sentiasa dijaga majikan,” katanya.
Wakil pemenang kategori pekerja, Norlina Sulaiman dari Medivest Sdn Bhd.

Dia berharap seminar kesihatan tempat kerja dan Activ@Work Challenge yang telah diadakan sejak tiga tahun lalu diharap dapat diteruskan serta mendapat lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.

Katanya, usaha majikan dan pekerja dalam menjayakan program ini amat digalakkan.