Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya mengesan sebanyak 48 kes sindiket penipuan tuntutan faedah pencen ilat (hilang upaya kekal) melibatkan kerugian berjumlah RM2.4 juta.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata jumlah berbentuk pencen bulanan sepanjang hayat tersebut boleh mencecah sehingga RM30 juta sekiranya dibayar berterusan.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 22 kes telah dilaporkan kepada polis untuk tindakan undang-undang dan selebihnya akan dikemukakan secara berperingkat.

“Bagi kes yang telah dilaporkan kepada polis, ia melibatkan pengerusi sebuah badan kebajikan dan 10 suspek lain yang memalsukan dokumen dan memperdaya orang lain untuk bertindak sebagai pemohon semasa pemeriksaan perubatan.

“Kesemua mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan. Kita memandang serius perkara ini dan akan memastikan pihak tidak beretika dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media mengenai kegiatan penipuan tuntutan Perkeso di sini hari ini.

Beliau berkata Perkeso tidak akan berkompromi dengan kegiatan orang tengah yang bergerak secara individu mahpun yang berselindung di sebalik nama-nama persatuan kebajikan, institusi atau NGO (badan bukan kerajaan).

“Perkeso ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan Perkeso adalah percuma dan tidak perlu menggunakan pihak lain atau orang tengah sebagai pengantara.

“Orang ramai yang pernah ditipu atau dipergunakan oleh kegiatan orang tengah, diminta tampil memberi maklumat kepada Perkeso supaya jenayah ini dapat dibanteras,” katanya.

Tambahnya Perkeso juga bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mempergiat siasatan dalam membanteras sindiket tersebut.

-- BERNAMA