SUSULAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sejak Rabu (18 Mac), sektor pengangkutan udara turut terjejas sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Berikut soalan-soalan lazim yang ditujukan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

1. Adakah lapangan terbang kekal beroperasi?

Ya. lapangan terbang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting negara (essential services), maka semua lapangan terbang kami beroperasi seperti biasa.

2. Adakah penerbangan terjejas dengan sekatan?

Tiada sekatan untuk operasi penerbangan domestik dan antarabangsa ketika ini. Sebarang keputusan untuk pembatalan tiket penerbangan tertakluk kepada pertimbangan syarikat penerbangan.

Penumpang dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing berkenaan jadual penerbangan anda.

3. Siapakah yang dibenarkan terbang keluar dari Malaysia?

* Warganegara Malaysia dan penduduk tetap tidak dibenarkan terbang rentas negara untuk percutian sepanjang tempoh sekatan ini.

* Pegawai diplomat Malaysia yang berkhidmat di luar negara dibenarkan meninggalkan negara.

* Warganegara Malaysia dan penduduk tetap yang memegang permit kerja dari negara ketiga yang ingin pulang ke tempat kerja mereka akan dibenarkan tetapi tidak dibenarkan pulang semula sebelum 31 Mac. Anda dikehendaki untuk menyediakan dokumen-dokumen penting sebelum berlepas.

* Semua pelawat dan warga asing dibenarkan meninggalkan negara dan tidak dibenarkan masuk semula sehingga notis diberitahu kelak.

4. Siapakah yang dibenarkan terbang masuk ke Malaysia?

* Warganegara Malaysia dan penduduk tetap boleh kembali ke Malaysia dari luar negara ketika tempoh sekatan.

* Pasangan suami isteri serta anak-anak warganegara yang memegang pas jangka panjang.

* Pegawai diplomat asing yang berkhidmat di Malaysia termasuk ahli keluarga mereka yang memegang
Pas Tanggungan.

* Semua pemegang pas ekspatriat, pelajar, pekerja sementara dan pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) tidak dibenarkan memasuki Malaysia semasa tempoh ini dan sekiranya pas mereka telah tamat tempoh ketika mereka berada di negara mereka masing-masing, mereka akan dibenarkan masuk sebaik sahaja Perintah itu ditarik balik.

* Sila ambil perhatian bahawa semua kemasukan ke Malaysia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di pintu masuk dan kemudiannya perlu melakukan kuarantin sendiri bagi tempoh 14 hari seterusnya.

* Kru syarikat penerbangan dan kargo termasuk kru pesawat persendirian juga perlu melalui proses pemeriksaan kesihatan sebelum pemeriksaan imigresen.

5. Adakah penumpang penerbangan antarabangsa boleh menggunakan transit di lapangan terbang negara?

Penumpang penerbangan transit dan penerbangan penghubung yang tidak perlu melalui imigresen dibenarkan untuk menaiki penerbangan penghubung mereka.

Mereka perlu rujuk kepada syarikat penerbangan mereka untuk memastikan bagasi berdaftar dipindahkan ke penerbangan penghubung sampai ke destinasi akhir.

Sila ambil perhatian transit antara terminal (KLIA-KLIA2 atau KLIA2-KLIA) tidak boleh dilakukan semasa tempoh Perintah.

6. Adakah pengunjung Malaysia dan asing (yang kini berada dalam negara) dibenarkan terbang dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya?

Tidak. Pengunjung Malaysia dan asing tidak dibenarkan terbang dari Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur dan sebaliknya.

Bagaimanapun, orang Sabah dan Sarawak yang telah berada di Semenanjung sebelum penguatkuasaan Perintah dan mahu pulang ke negeri masing-masing akan dibenarkan berbuat demikian.

Peraturan yang sama terpakai kepada mereka dari Semenanjung Malaysia yang ketika ini berada di Sabah dan Sarawak dan mahu pulang ke Semenanjung Malaysia.

7. Adakah kedai, premis perkhidmatan dan kedai makan dan minuman beroperasi ketika tempoh Perintah?

Farmasi, pasar raya dan kedai serbaneka yang menjual barangan penting di lapangan terbang dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah, manakala makan di outlet restoran atau kedai makan dan minuman tidak dibenarkan.

8. Adakah saya boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di lapangan terbang?

Semua perkhidmatan pengangkutan awam ke dan dari lapangan terbang disediakan, bagaimanapun kekerapan operasi akan dikurangkan.

.