Rabu, 6 petang, Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang menjadi idola ramai kaum hawa tidak kira usia.

Dikenali sebagai Iron Lady, Datuk Dr Maznah Hamid, 62, menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan mengalami komplikasi injap di bahagian jantung yang mengeras akibat kalsium yang berlebihan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd itu dilahirkan pada 18 April 1955 di Ayer Hitam Kedah.

Dr Maznah ketika hayatnya gigih membuktikan peranan seorang wanita dalam dunia perniagaan dengan berusaha memajukan Securiforce yang tidak dikenali langsung 30 tahun dahulu supaya menjadi sebuah syarikat kawalan keselamatan yang terbesar di Malaysia dan berjaya menyaingi lebih 400 buah syarikat lain seumpamanya.

Sehingga kini, syarikat tersebut yang mempunyai 65 buah cawangan dengan lebih 6,000 kakitangan.

Kejayaan Dr Maznah membanggakan ramai kaum hawa tidak kira apa bangsa sekalipun. Apatah lagi Syarikat Securiforce yang dikepalainya berjaya mereka cipta dan menghasilkan van kalis peluru.

Ditangan wanita besi ini juga, Securiforce melebar luaskan perniagaan bukan terhad kepada static guard semata-mata tetapi turut merangkumi logistik, cash-in-transit, pengurusan tunai, high-tech cargo management, perkhidmatan armoured trucking, dan pelbagai perkhidmatan yang lain. Securiforce memberikan pakej keselamatan yang lengkap dan total, mempelopori konsep total security.

Hasil daripada kegigihan beliau dan ‘team’nya menerajui syarikat, kini Securiforce mempunyai beberapa buah anak syarikat yang sedang berkembang maju. Antaranya ialah Danau Lumayan, pemaju hartanah di Bandar Tun Razak yang membina pangsapuri /kondominium mewah, ‘penthouse’ yang eksklusif dan lot-lot kompleks perniagaan.

Lebih membanggakan, Allahyarham membangukan perniagaan tanpa sebarang bantuan kewangan daripada bank. Kejayaan ini, amat dikagumi oleh pelbagai pihak dan segala lapisan masyarakat.

Kini, tiada lagi sosok yang dikenali Iron Lady dan membanggakan ramai kaum wanita.

Al-Fatihah.