Pihak peguam bela berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah agar saksi pendakwaan ke-20, Rosaiah Mohamed Rosli, yang juga pegawai Affin Bank, mendapatkan imej cek bernilai RM8 juta, dipercayai dikeluarkan Ihsan Perdana Sdn Bhd, kepada pihak ketiga, pada Disember 2014.

Peguam Bela Harvinderjit Singh sewaktu menyoal balas Rosaiah, mendakwa wang yang ‘hilang’ itu dipercayai sebahagian daripada RM40 juta yang diberikan SRC International kepada Ihsan Perdana melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd, pada waktu berkenaan.

Dakwanya lagi, pihak pendakwa raya hanya meminta Rosaiah mengesahkan tiga pemindahan wang, iaitu sebanyak RM40 juta pada 24 Disember 2014, RM5 juta pada 5 Februari 2015, dan RM5 juta lagi pada 6 Februari 2015.

Terdahulu, Rosaiah mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa tiga pemindahan wang berjumlah RM50 juta telah berlaku antara Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana, yang mana kedua-duanya merupakan anak syarikat SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Harvinderjit mendakwa, berdasarkan rekod diperolehi, terdapat beberapa lagi pemindahan selain yang disebutkan, berjumlah RM53 juta, antara waktu yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan pemindahan wang sebanyak RM103 juta.

Walaupun Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram cuba membantah kerana perkara itu tidak ada kena-mengena dengan tuduhan ke atas Najib yang melibatkan RM42 juta, Harvinderjit membalas ia perlu kerana seolah-olah ada pihak ‘ketiga’ mengambil duit selebihnya.

Atas sebab itu, Hakim Mohd Nazlah Mohd Ghazali membenarkan Rosaiah dilepaskan buat sementara waktu bagi mendapatkan dokumen berkaitan pemindahan wang berkenaan.

Perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri itu memasuki hari ke-lapan hari ini, di mana 21 saksi pendakwaan telah dipanggil sejak hari pertama.

Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu dikenakan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram, dan satu tuduhan salah guna kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.