Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Tan Sri Ismee Ismail mengakui, tidak memaklumkan Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan akaun tidak diaudit dan meragukan.

Ismee yang juga saksi ke-39 itu berkata demikian apabila memilih untuk menyiasat perkara itu terlebih dahulu melibatkan kedua-dua akaun berkenaan.

“Saya tak setuju. Saya perlu siasat non-filing, saya hubungi juruaudit untuk tahu berkenaan sebab penangguhan. Mereka kata beberapa pengesahan audit tidak diterima daripada pengurusan (SRC).

"Saya ambil tanggungjawab dan tanya berkenaan tunggakan pengesahan audit, mereka (juruaudit) memberikan saya (maklumat) yang antara lain berkenaan bank tempatan," katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon balas terhadap soalan peguam Harvinderjit Singh yang bertanyakan adakah saksi ke-39 itu bersetuju jika perkara itu perlu dilaporkan kepada Najib.

Ismee sebaliknya merasakan kedua-dua akaun terbabit perlu ditutup atas faktor tanggungjawab berhubung perkara tersebut.

Tambahnya lagi, beliau tidak melanjutkan perkara tersebut kepada bekas Perdana Menteri itu kerana permasalahan itu telah pun diselesaikan menerusi penutupan kedua-dua akaun.

"Ia (akaun) ada di meja saya selama dua minggu. Saya tanganinya satu persatu, saya ambil tanggungjawab untuk tutup akaun.

"Mereka kata Nik Faisal tidak memberitahu tentang perkara itu kerana sibuk dengan perkara lain," katanya lagi.