Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Oktober ini sebagai tarikh permulaan perbicaraan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh perbicaraan itu semasa pengurusan kes pada Isnin.

Ahmad Zahid, 66, yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berkaitan VLN, sebelum itu mengaku tidak bersalah apabila kesemua pertuduhan itu dibacakan semula kepadanya pada Isnin.

Presiden UMNO itu yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Tiek dan Hamidi Mohd Noh juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri, telah menerima suapan berjumlah S$13,560,000 berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pada 26 Julai 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menerima rasuah S$4,240,000 bagi melanjutkan kontrak Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Center (OSC) di China dan sistem VLN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, antara Mac 2017 dan Mac 2018.

Sehari kemudian, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan iaitu 26 daripadanya mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM, menerima suapan berjumlah S$9,320,000 daripada Syarikat Ultra Kirana sebagai upah baginya, untuk mengekalkan kontrak Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem Bersepadu Visa Luar Negara (VLN) dan melanjutkan kontrak syarikat sama sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Bagi tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula, Ahmad Zahid didakwa sebagai penjawat awam, mendapatkan bagi dirinya, wang tunai dalam pelbagai mata wang iaitu RM3,125,000, S$1,150,000, EUR15,000, AS$15,000, tanpa balasan daripada syarikat sama, yang diketahuinya mempunyai hubungan rasmi dengannya.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu pada Oktober 2014 hingga Oktober 2017 di sebuah rumah di Country Heights Kajang.

Jika sabit kesalahan bawah Akta SPRM, Ahmad Zahid boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Ahmad Zahid boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA