Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung hari ini.

Perbicaraan bersambung dengan sesi soal balas oleh pasukan peguambela yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap saksi kelapan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang juga bekas pegawai khas kepada Najib.

Dalam keterangannya sebelum ini, Amhari memberitahu mahkamah bahawa beliau pernah merasa tertekan sehingga ingin meletak jawatan apabila menerima arahan daripada bekas perdana menteri tersebut, tambahan pula pada waktu itu, ketuanya, Ketua Setiausaha Sulit, Datuk Seri Azlin Alias telah meninggal dunia.

Menurut Amhari Efendi, beliau berasa bimbang akan dilibatkan dalam percaturan bekas majikannya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Datuk Seri Najib mengarahkan saya ke China untuk mengesahkan kerjasama di antara Malaysia dan negara itu.

"Saya terpaksa akur dan setuju untuk ikut arahan Datuk Seri Najib memandangkan arahan daripada beliau sendiri,” katanya ketika membaca penyataan saksinya minggu lalu.

Perbicaraan hari keenam skandal yang mengubah landskap politik negara itu dibicarakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.