Saksi kesembilan perbicaraan kes 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini mengesahkan kemasukan Tan Sri Ong Gim Huat ke dalam Lembaga Pengarah firma pelaburan itu pada 2010, adalah atas cadangan ahli perniagaan, Low Taek-Jho atau Jho Low,

Namun, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu bertegas, beliau tidak mengetahui Ong merupakan kenalan rapat kepada ayah Jho Low iaitu mendiang Tan Sri Larry Low Meng Tak.

Selain itu, Shahrol Azral juga berkata, beliau tidak membuat siasatan latar belakang Ong memandangkan pelantikan itu adalah atas persetujuan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

Muhammad Shafee: Saya tanya kepada anda, Ong Gim Huat sepatutnya merupakan individu yang bebas dan menepati kriteria. Adakah anda percaya beliau seorang yang bebas?

Shahrol Azral: Saya perlu kata ya.

Muhammad Shafee: Adakah anda buat pemeriksaan latar belakang beliau?

Shahrol Azral: Prosesnya begini. Nama beliau dibawa oleh Jho Low, tetapi prerogatif untuk pelantikan terpulang kepada Datuk Seri Najib. Jadi saya tidak buat sebarang pemeriksaan kerana saya sangkakan Najib yang mahu Ong berada dalam Lembaga Pengarah.

Sepanjang tempoh saya dari 2009 hingga 2016, Ong tidak pernah menunjukkan sebarang sebab untuk saya percaya beliau tidak bebas.

Ong, telah dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB pada 12 Januari 2010 dan beliau mengetuai jawatankuasa audit dan pengurusan risiko untuk firma pelaburan itu.

Akhbar The Edge pada 2015 melaporkan, Ong, bukan sekadar rakan, tetapi juga merupakan rakan peniagaan ayah Jho Low itu selama 30 tahun dalam syarikat pembangunan hartanah berpangkalan di Pulau Pinang iaitu Wonder Bay Sdn. Bhd.

Akhbar itu selanjutnya melaporkan Ong dan Low kedua-duanya telah dikurniakan darjah kebesaran yang membawa pangkat Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2013.

Dalam perbicaraan itu, Muhammad Shafee selanjutnya berkata, berdasarkan fakta yang dikemukakan, termasuk laporan The Edge, beliau mencadangkan bahawa Ong merupakan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan ayah Jho Low.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa Ong tidak mungkin boleh menjadi individu bebas dalam Lembaga Pengarah 1MDB.

Namun, Shahrol Azral akhirnya berkata, beliau tidak boleh memberi komen lanjutan terhadap perkara itu dan tidak dapat mengesahkan sama ada Ong benar-benar individu bebas dalam sebarang keputusan 1MDB.

Najib, yang juga bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.