Saksi kesembilan perbicaraan 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini tidak bersetuju beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif yang tidak kompeten dan hanya tahu mengambil jalan mudah menyalahkan individu lain atas kecuaian syarikat itu.

Shahrol Azral berkata, tanggungjawab merepatriasi dana 1MDB dari Bridge Partners International Investment Ltd pada 2012 telah diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang 1MDB, Jasmine Loo, Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir dan timbalannya, Terence Geh.

Beliau ketika disoal Tan Sri Muhammad Shafee memberitahu, projek itu dianggap sebagai government-to-government antara Malaysia dan Arab Saudi dan beliau langsung tiada sebab untuk tidak percaya ia merupakan sesuatu yang baik untuk negara.

Muhammad Shafee: Datuk Shahrol, setiap kali anda dalam keadaan terdesak, anda sama ada menyalahkan anak guam saya (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau orang lain seperti Jho Low, Jasmine Loo, dan ramai lagi. Anda tidak pernah rasa bersalah, anda asyik menyalahkan orang lain.

Shahrol Azral: Tidak bersetuju.

Terdahulu Muhammad Shafee membangkitkan fakta bahawa syarikat Bridge Partners itu baru berusia sebulan ketika itu dan ia berkemungkinan besar diwujudkan oleh Jho Low.

Sebagai rekod, 1MDB pada 2012 telah meningkatkan pegangan saham ke atas PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL) sebanyak 49 peratus melalui Nota Murabaha.

Shahrol Azral memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa nilai 49 peratus itu dicapai ekoran sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas Venezuela pada ketika itu dan Malaysia tidak mahu menjadi pemegang majoriti dalam PSOSL bagi mengelakkan terjejas dengan sekatan itu.

Beliau kemudian memberitahu, pengurusan 1MDB, atas cadangan Jho Low, mengambil keputusan untuk melupuskan kesemua 49 peratus saham PSOSL itu kepada Bridge Partners bagi mengurangkan risiko perniagaan.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa cadangan pelaburan dalam syarikat kerjasama (JV) 1MDB-PSI, pertukaran ekuiti kepada nota murabaha pada 2010, pertukaran kembali Nota Murabaha kepada ekuiti dalam PSOSL pada 2012, termasuk penjualan saham kepada Bridge Partners, kesemua ini adalah penipuan yang direncanakan oleh Jho Low.

Beliau selanjutnya mencadangkan, bahawa tidak mungkin Najib selaku Perdana Menteri ketika itu tahu mengenai kesemua perincian ini dan Najib sendiri telah ditipu kerana beliau telah menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada pengurusan 1MDB.

Shahrol Azral berkata, beliau boleh komen apa yang Najib tahu dan tidak tahu pada ketika itu.

Najib, yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, ketika ini menghadapi menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.