Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 susulan peragaan separuh bogel yang diadakan pada acara itu.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementerian iaitu Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) untuk menyiasat perkara tersebut.

Katanya expo ini bukanlah kali pertama diadakan di Malaysia dan sejak mula diadakan pada 2015, tiada kejadian seumpama berlaku dan dipamerkan di khalayak ramai.

"Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi ia telah melanggar ketatasusilaan dan saya telah mengarahkan MyCeB untuk menyiasat perkara ini.

"Penganjuran acara bertaraf antarabangsa adalah baik untuk industri pelancongan negara tetapi bukan dengan cara penganjuran sebegini, ia tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamaddin berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan untuk peragaan separuh bogel.

"Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen-elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

"Kami akan menanti laporan penuh siasatan daripada MyCeB dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan." katanya.

Tattoo Malaysia Expo 2019 berlangsung di sini sejak Jumaat sehingga semalam yang menghimpunkan peserta dari 35 negara dengan penganjuran pada 2015, 2016 dan 2017 sebelum ini diadakan di Sabah.

MyCeB dalam kenyataan awal menyebut sebarang kelulusan untuk acara diadakan di mana-mana negeri perlu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri dan Tempatan.

Semalam, tular di media sosial gambar berserta visual peragaan separuh bogel dalam satu acara yang dianjurkan pada expo berkenaan.

-- BERNAMA