Langkah Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai pameran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA'19) buat julung kalinya membuahkan hasil apabila berjaya menarik minat pelbagai agensi untuk bekerjasama dengan UUM.

Hasil daripada pameran LIMA'19 ini beberapa agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam dan luar negara telah menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dengan UUM yang mengetengahkan hasil penyelidikan, kepakaran serta program akademik pada pameran itu.

Antara produk yang diketengahkan dalam LIMA’19 adalah Aviation Management: Aviation Gamification Innovation (AGI) Prototypes yang diketuai oleh Dr Rohafiz Sabar, Logistics Support System (Prof Madya Dr Azril Ismail), Penang Port Games (Shanizan Herman Mohd Radzi), Surface Access in Aviation and Maritime Service Learning and Games (Dr Nur Khairiel Anuar), Senang Park & Saikolab (Prof Madya Dr Shahrul Azmi Mohd Yusof).

Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata antara yang menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan UUM adalah Kementerian Sumber Manusia.

"Kementerian Sumber Manusia menyatakan hasrat untuk berkolaborasi bersama UUM melalui Jabatan Sumber Manusia, Pusat Pengajian Peniagaan (SBM) UUM dan aplikasi Saikolab iaitu ujian psikometrik yang menilai sikap dan personaliti individu hasil penyelidikan Prof. Madya Dr. Shahrul Azmi Mohd. Yusof.

"Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran Murugeson juga sempat meluangkan masa melawat booth pameran UUM dan meninggalkan maklumbalas positif terhadap usaha UUM itu.

"Selain itu cadangan oleh The Centre for Logistics and Transport (CeLT) dan Disaster Management Institute (DMI), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) UUM untuk bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam pengurusan logistik dan bencana diterima baik dan APM bersetuju untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UUM," tambah beliau.

Selain itu menurut Naib Canselor lagi, institusi pendidikan dalam dan luar negara juga berminat untuk berkolaborasi dengan UUM menerusi penganjuran bersama persidangan dan kolaborasi akademik-industri.

"Antara institusi pendidikan tinggi yang berminat menjalinkan kerjasama dengan UUM adalah UiTM menerusi Flight Techology & Test Centre (FTTC) dan Universiti- universiti di Selatan Australia melalui FLIR System Inc, Defense and Government, Australia.

"Malah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yang berkunjung ke booth UUM juga berminat untuk menjalankan kerjasama Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Multimedia dan pengurusan golf khususnya melalui Akademi Golf Nasional UUM," jelas beliau.

LIMA'19 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dari 26-30 Mac merupakan penyertaan julung kali UUM dalam pameran berprestij antarabangsa tersebut, bertujuan mengetengahkan produk UUM khususnya hasil penyelidikan dan kepakaran universiti kepada masyarakat umum.

Penglibatan UUM dalam pameran ini juga merupakan sebahagian langkah pengantarabangsaan serta meningkatkan hubungan UUM dengan industri selaras dengan konsep Malaysia Incorporated yang diperkenalkan oleh Perdana Manteri Tun Mahathir Mohamad pada 1983 sebagai "strategi perindustrian" untuk menjalin hubungan simbiotik baharu dan perkongsian antara sektor awam dan swasta.