Seorang pelakon dan penyampai radio direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dia disyaki memuat naik kenyataan jelik dengan tujuan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Institusi Diraja Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Mahkamah Majistret Johor membenarkan tahanan reman itu yang bermula 10 hingga 12 Mei bagi tujuan membantu siasatan.

"Reman itu bagi membantu siasatan memuatnaik kenyataan jelik terhadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor.

"Jumaat lalu, Polis Johor menerima satu laporan polis daripada orang awam berikutan satu muat naik kenyataan jelik melalui Facebook selebriti berkenaan yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor dan institusi diraja Johor.

"Sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Johor menahan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Suspek dipercayai individu yang memuatnaik kenyataan jelik berkenaan dengan komputer ribanya turut dirampas bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Dalam pada itu, Ayob menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi memuatnaik kenyataan palsu untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Polis Johor tidak akan berkompromi terhadap tindakan berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas," katanya lagi.