Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah treler rosak muatan kelapa sawit yang diparkir di bahu jalan di Jalan Selama, di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.18 malam dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, pihak JBPM mengambil masa yang agak lama ekoran faktor jarak yang agak jauh iaitu 13 kilometer.

Operasi pembersihan lokasi kemalangan dijalankan dengan bantuan 10 anggota bomba dari Balai Bomba Serdang dan tamat pada jam 9.21 malam.

Mangsa, Mohamad Fauzi Zainul, 33 tahun, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.