Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai beberapa perkara sebelum ini sebagai 'cerita dongeng yang tidak masuk akal'.

Beliau memberi reaksi itu selepas diminta mengulas kenyataan terbaharu bekas perdana menteri berhubung derma AS$100 juta yang didakwa diterima daripada Kerajaan Arab Saudi.

Mengulas perkara itu, Guan Eng bagaimanapun berkata beliau masih belum membaca kenyataan itu dan hanya akan memberi maklum balas mengenainya sekiranya perlu.

Namun, katanya, beliau menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau yang berkaitan untuk tindakan seterusnya.

BACA: Najib kata sukar dapat dokumen, kami dah lama ada - Wartawan WSJ

BACA: Najib dedah bukti sumbangan Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz as-Saud

"Kalau perlu, saya akan komen. Kalau tidak, biar perkara ini diserahkan kepada SPRM atau Peguam Negara atau mana-mana badan bertanggungjawab.

"Kadang-kadang saya sendiri tak faham dengan apa yang Najib cakap, tentang SST (cukai jualan dan perkhidmatan), GST (cukai barang dan perkhidmatan), kapal layar (Equanimity) ataupun wang yang dia pindah keluar dari peti-peti besi dalam ofis dia dan letak dalam apartment.

"Bagi saya, penjelasan-penjelasan dia tidak masuk akal. Kadang-kadang, apabila kita baca pasal kisah baru dia, macam baca kisah dongeng.

"Apa-apa pun, saya kena baca dulu kenyataan terbaharu dia. Sekarang dia rajin, setiap hari ada tiga empat column atau keratan... kalau perlu, saya akan respon," katanya dalam satu siding media di sini, hari ini.

BACA: 'Perang' berterusan, Najib persoal harga teh o ais limau pula

BACA: 'Najib jangan buat-buat terkejut, dulu pun dah kena GST' - Netizen

Semalam, menerusi laman Facebooknya, Najib buat pertama kali mendedahkan beberapa dokumen yang dilihat berhubung transaksi pembiayaan kewangan yang diterimanya daripada Kerajaan Arab Saudi pada tahun 2011.

Menurut Najib, pendedahan itu dibuat bagi menjawab isu dana RM2.6 bilion yang didakwanya sebagai derma daripada keluarga diraja itu.