Individu ini sepatutnya menjadi contoh kepada anggota lain, namun penjawat awam berpangkat ini menunjukkan tauladan yang tidak baik apabila ditangkap kerana positif dadah jenis syabu.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Bukit Kayu Hitam, lewat petang Isnin.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK, Zolkifli Mohd Dom, suspek mengaku baru sahaja mengambil dadah.

Namun, berdasarkan siasatan, dia disyaki mempunyai masalah disiplin kerana didapati kerap tidak hadir bekerja.

Hasil ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati dia positif methamphetamine.

"Sekarang dia ditahan di lokap AADK. Semasa serbuan, dia di rumah di Changloon," kata Zolkifli.

Serbuan itu merupakan sebahagian daripada operasi Ops Cegah Sempadan Siri 1/2018 sempena Tahun Baru Cina.

Menerusi operasi ini seramai 243 individu ditahan untuk pemeriksaan dan menjalani ujian saringan air kencing dan seramai 79 daripadanya didapati positif dadah pelbagai jenis.

Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 60 tahun di mana kebanyakannya baru pulang dari Thailand dan melintasi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Operasi ini disertai anggota AADK Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu, Padang Terap, Unit Anti Sempadan Bukit Kayu Hitam dan Changlun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Zolkifli berkata, operasi kali ini menunjukkan peningkatan di kalangan mereka yang mengambil dadah selepas baru pulang berhibur dari negara jiran dan memperoleh bekalan dadah untuk keseronokan.

Kesemua mereka positif dadah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.