Seorang peniaga di sini terpaksa berputih mata selepas kerugian RM859,500 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kejadian bermula pada 24 April lalu apabila wanita berusia 53 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa kakitangan Pos Laju Kuala Lumpur.

"Suspek memberitahu terdapat bungkusan yang dipos dari Sabah ke Kuantan telah ditahan oleh kastam kerana mengandungi kad pengenalan dan kad kredit milik wanita itu.

"Kemudian mangsa telah dihubungi oleh seorang lagi suspek kononnya pegawai polis bernama Inspektor Ku," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata suspek mendakwa semakan kad pengenalan mangsa mendapati wanita itu terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Suspek menyuruh mangsa membuka akaun bank yang baharu dengan memberikan nombor telefon untuk mendaftar akaun berkenaan.

"Selepas membuka akaun berkenaan, suspek memindahkan wang sebanyak RM509,500 ke dalam dalam akaun yang baru dibuka itu," katanya.

Katanya lagi, mangsa juga memindahkan wang sebanyak RM350,000 ke dalam lapan akaun bank yang berbeza dengan melakukan 75 kali transaksi.

"Kesemua wang berkenaan kononnya ingin diperiksa oleh polis kerana mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram," katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa yang menyedari ditipu selepas semua wang dipindahkan bertindak membuat laporan di Balai Polis Triang semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.