Lazimnya, setiap kali tibanya bulan kebangsaan, pelbagai ragam orang dapat dilihat dalam menzahirkan semangat patriotik kepada negara.

Tidak ketinggalan, seorang peniaga 'roti canai terbang' yang popular dalam kalangan penduduk setempat, Mohd Suffian Md Ali, 36, turut meraikan sambutan kemerdekaan dengan menghias gerai makan miliknya menggunakan Jalur Gemilang.

Mohd Suffian yang berniaga 'roti terbang' sejak empat tahun lepas berkata sebelum ini dia hanya menghias gerai terbabit dengan pelbagai saiz Jalur Gemilang, namun, tahun ini, dia turut mengenakan pakaian berkaitan semangat patriotik kepada negara bagi menampilkan kelainan.

"Saya akan memakai pakaian berkaitan Jalur Gemilang atau semangat cintakan negara setiap hari bermula hari ini (16 Ogos) selama sebulan sehingga pada sambutan Hari Malaysia, 16 September depan," katanya.

Menurut Mohd Suffian, beliau menerima sokongan padu daripada isterinya, Norshelyza Talib, 35, yang sentiasa berkongsikan idea dalam menyambut kemerdekaan setiap tahun.

Katanya, lebih manis, Norshelyza yang menyediakan menu chicken chop dan nasi lemak di gerainya itu akan turut bersama-sama memakai pakaian berkaitan Jalur Gemilang atau semangat kenegaraan.

"Tidak ketinggalan, ketiga-tiga anak perempuan kami yang berumur 11, 13 dan 16 tahun akan turut memakai (pakaian) yang sama seperti kami, agar gerai makan kami ini meriah dan mempunyai tarikan tersendiri.

"Dalam masa sama, usaha ini mampu mendidik anak-anak kami untuk mencintai negara dan mengingati pengorbanan pejuang dahulu dalam membebaskan negara ini daripada belenggu penjajah," katanya.


Tiada sebab kita tidak menyambut hari kebangsaan, lebih-lebih lagi kita kini berpijak di negara sendiri


Mohd Suffian menambah, untuk meraikan kemerdekaan dengan memakai pakaian berkenaan, masing-masing mempunyai tiga pasang pakaian yang akan dipakai secara bergilir.

Ditanya tentang modal, beliau berkata hanya kira-kira RM350 diperuntukkannya untuk membeli bendera dan pakaian.

Katanya, dengan modal sebegitu, ianya masih tidak ternilai dengan pengorbanan mereka yang terlibat untuk memastikan negara ini merdeka dan dalam masa sama terus aman sehingga kini.

"Idea untuk menyambut hari kemerdekaan dengan cara seumpama ini juga muncul di saat saya terkenangkan diri ketika berada di Australia untuk bekerja beberapa tahun lepas, yang mana saya melihat ada rakyat Malaysia menyambut hari berkenaan walaupun berada jauh dari tanah air.

"Pada saya, tiada sebab kita tidak menyambut hari kebangsaan, lebih-lebih lagi kita kini berpijak di negara sendiri," katanya.

-- BERNAMA