Kira-kira 1,200 peniaga dan penghantar makanan E-Bazar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjalani saringan awal COVID-19 bermula pada Rabu.

Datuk Bandar, Datuk Zainal Abu berkata saringan berkenaan adalah syarat yang dikenakan ke atas kedua-dua kumpulan itu dengan mengenakan bayaran RM10 seorang.

Menurut beliau, pengusaha makanan dan pembantu pula diwajibkan mengambil suntikan typhoid dengan bayaran RM60 seorang.

"Dalam mengekang wabak COVID-19 ini, kita perlu memikirkan langkah pencegahan serta keselamatan bukan sahaja melibatkan peniaga dan penghantar makanan, malah untuk melindungi pembeli, kita tidak ada tolak ansur," katanya kepada pemberita, pada Rabu.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan air mineral kepada Hospital Melaka.

Sebanyak 42,000 botol air mineral bernilai RM18,375 diserahkan kepada Pengarah Hospital Melaka Dr Zaharimah Abdul Kadir untuk kegunaan pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

-- BERNAMA