Seorang peniaga pasar malam terpaksa menanggung kerugian RM12,500 selepas diperdaya sindiket Macau scam yang menyamar sebagai Majistret Mahkamah Kuala Terengganu pada Khamis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun itu dikatakan dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai 'Puan Suraya'.

"Puan Suraya mendakwa dia adalah Majistret Mahkamah Kuala Terengganu dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah lebih kurang RM10,000.

"Suspek mendakwa mangsa boleh dikenakan tindakan undang-undang sebelum meminta peniaga itu memasukkan wang yang ada ke dalam akaun bank yang diberikan berjumlah RM12,500," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tinggal di Sungai Miang, di sini, itu takut dikenakan tindakan undang-undang lantas mendepositkan wang berjumlah RM2,500 melalui satu mesin ATM Maybank di Pekan, ke dalam akaun seorang lelaki.

"Semalam, mangsa membuat dua lagi transaksi wang di bank yang sama, berjumlah RM10,000, ke dalam akaun yang sama.

"Sebaik mangsa mendepositkan wang ke akaun itu, suspek bertindak memutuskan panggilan, sebelum peniaga itu gagal menghubungi suspek.

"Mangsa menyedari dirinya sudah diperdaya oleh sindiket penipuan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, di sini, semalam," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.