Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh 31 Oktober 2018 jam 3 petang sebagai pengurusan kes bagi tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Prosiding berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menetapkan tarikh demikian selepas peguambela Datuk Shafee Abdullah mendakwa tidak menerima dokumen 51A dalam bentuk cetak.

Shafee berkata pihaknya hanya menerima dokumen dalam bentuk CD yang di mana ada beberapa dokumen tidak lengkap.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Sulaiman Abdullah ketika ditemui berkata kes seperti ini sememangnya menggunakan dokumen yang banyak kerana melibatkan transaksi wang.

Namun Sulaiman menegaskan pihaknya mempunyai tanggung jawab besar untuk menyelesaikan kes ini dan akan menegakkan kebenaran mengikut undang-undang.

Pihak pendakwaan dalam kes Najib juga menyebut untuk memohon supaya perbicaraan dapat ditukar ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Najib tiba di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.40 pagi dengan diiringi oleh pihak polis.