Seorang pengurus kanan kewangan syarikat pelaburan hartanah Pasdec Holdings Berhad mengaku tidak bersalah terhadap lima tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM320,000, lima tahun lalu.

Pengakuan Ahmad Rosdi Ismail, 50, direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohd Ghazali Mohamad Taib sebaik sahaja semua tuduhan terhadapnya dibacakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 Sept 2014 dan 21 Mac 2016 di pejabat Pasdec Holdings Berhad di Menara Teruntum dan CIMB Bank Berhad cawangan Kompleks Teruntum yang kedua-duanya terletak di Jalan Mahkota di sini.

Kesalahan itu yang didakwa berlaku sebanyak lima kali, melibatkan jumlah antara RM200,000 dan RM30,000 dalam satu transaksi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri menawarkan jaminan RM130,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Datuk Bastian Pius Vendargon bagaimanapun merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan.

"Tertuduh juga merupakan penanggung tunggal kewangan keluarga. Selain menyara isteri yang tidak bekerja, dua anaknya adalah kanak-kanak istimewa iaitu autisme.

"Tertuduh hanya mampu menjelaskan jaminan tidak melebihi RM50,000. Saya merayu supaya mahkamah memberikan jaminan yang munasabah dan anak guam saya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan pasport miliknya," katanya.

Mohd Ghazali menetapkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 6 Mac depan sebagai sebutan semula untuk penyerahan dokumen.