Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus sebagai langkah prihatin bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.

"Ini adalah langkah permulaan yang baik," kata eksekutif pemasaran sebuah syarikat, Brandon Lee, 28, kepada Bernama.

Penganalisis data, Nurul Nadya Nasarudin, 31, berkata pengurangan kadar tol dapat menjimatkan perbelanjaannya memandangkan beliau menggunakan lebuh raya itu ke pejabat hampir setiap hari.

"Saya membelanjakan sebanyak RM100 sebulan untuk tol bagi perjalanan pergi dan balik saya. Jadi, saya bersyukur dengan pengurangan ini dan berterima kasih kepada kerajaan jika mereka melaksanakannya," katanya.

Pengamal media, Nurhafizah Tan, 31, berkata sekiranya pengurangan kadar tol dilaksanakan, beliau boleh membelanjakan wang lebihannya untuk keperluan harian yang lain.

"Sejak saya berpindah ke Puncak Alam dua bulan lepas, saya membelanjakan sebanyak RM10 sehari untuk lebuh raya PLUS sahaja. Selepas ini kalau betul pengurangan kadar tol ini direalisasikan, saya boleh guna duit lebih itu untuk minyak, makan dan keperluan lain," katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis dilaporkan berkata kerajaan tidak akan menjual Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad tetapi telah memutuskan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus.

--BERNAMA