Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla di Cameron Highlands adalah berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, kerajaan Pahang sentiasa memastikan segala tindakan penguatkuasaan yang telah dan akan diambil mematuhi segala perundangan yang berkuatkuasa serta berlandaskan ‘rule of law’.

"Buktinya, tindakan meroboh yang telah dilaksanakan di Sungai Ichat sebelum ini telah dihentikan apabila peneroka-peneroka telah memperolehi perintah untuk injunksi interim bertarikh 11 Mac 2019 daripada Mahkamah Tinggi Kuantan.

"Bagaimanapun, plaintif-plaintif dalam saman pemula ini telah menarik balik permohonan mereka di mahkamah dan memberhentikan tindakan saman tersebut pada 30 September 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sallehuddin berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga komited untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan ini dan tidak akan berkompromi demi memastikan kelestarian serta kesejahteraan rakyat di daerah Cameron Highlands dapat di realisasikan.

"Loji air Kuala Terla adalah loji air yang terpenting dan terbesar menyalurkan lebih 70 peratus kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands yang melibatkan 8,332 akaun," katanya.

BACA: Henti segera pencerobohan Sungai Ichat - Agong

Sallehuddin berkata, berdasarkan pemantauan oleh Perbadanan Air Pahang Berhad (PAIP) kualiti air di Sungai Ichat telah mula pulih selepas tindakan penguatkuasaan diambil dan kerja-kerja pembersihan dilakukan hampir setiap minggu oleh pihak PAIP.

"Berdasarkan perancangan semasa, pihak PAIP bercadang untuk melakukan pengalihan Sungai Ichat untuk bercantum dengan Sungai Terla bermula suku tahun kedua tahun 2020 sebagai mana rekabentuk asal pembinaan loji air Kuala Terla.

"Tindakan ini diharapkan akan dapat meningkatkan dan menstabilkan aliran air mentah untuk kegunaan di loji air Kuala Terla," katanya.