Semangat dan pengorbanan rakyat Malaysia telah membantu kejayaan kerajaan dalam mengurus pelbagai masalah berkaitan dengan penularan wabak COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha menghadapi cabaran wabak COVID-19, rakyat sedia berkorban dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan termasuk penjarakan sosial selain mengelak daripada keluar dari rumah.

"Penting bagi kita untuk mengingati bahawa masalah COVID-19 masih belum dapat kita atasi ... sehinggalah kita ketemukan vaksin penyakit ini, keadaan kita masih belum selamat lagi. Situasi kita sekarang terkawal tetapi masih ada peningkatan (jumlah jangkitan).

"Kita diiktiraf antara negara terbaik (menangani COVID-19) kes kematian (akibat COVID-19) antara terendah di dunia ... tetapi dalam kita hendak mencapai kejayaan dalam menangani penyakit ini maka pengorbanan itu adalah suatu yang wajib kita lakukan," katanya di Bukit Gambir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Hari Raya Aidiladha Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Kampung Parit Zing, Bukit Gambir, di sini. - BERNAMA