KOTA BHARU: Penggunaan senjata api secara haram, terutama melibatkan kumpulan pengedar dadah di negeri ini, masih lagi terkawal.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan berkata isu berkenaan dianggap tidak lagi serius, sepertimana di negara jiran Thailand, hingga boleh menggugat keamanan negeri.

Menurut Hassanuddin, kumpulan tersebut dipercayai sering menyeludup masuk senjata api melalui pangkalan haram terutama di Rantau Panjang iaitu di sempadan Malaysia-Thailand.

Tambahnya, sepanjang tempoh dari 2016 hingga hari ini, sejumlah 50 pucuk senjata api pelbagai jenis serta lebih 1,350 butir peluru hidup berjaya dirampas.

Dalam tempoh itu juga, 84 orang telah pun ditangkap kerana kesalahan menyeludup, dan memiliki senjata api berkenaan.

Hassanuddin berkata kebanyakan senjata api berkenaan dibeli dari negara jiran dengan harga di antara RM6,000 dan RM8,000, bergantung kepada jenis.

“Tak mustahil (ada rangkaian pengedaran senjata api) tapi lebih kepada individu yang memiliki dan ia untuk dijual di pasaran gelap, untuk urusan diri sendiri berniaga dadah dan digunakan untuk samun dan pertahankan diri kerana pernah melakukan jenayah di negara jiran,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Hassanuddin turut mengumumkan rampasan sepucuk pistol jenis .38 Smith and Wesson buatan Amerika berserta sembilan butir peluru yang disorok di dalam bantal dalam satu serbuan di sebuah rumah di Rantau Panjang semalam.

Susulan itu, polis berjaya menahan dua lelaki Melayu berusia 20 dan 26 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Dalam serbuan itu, polis turut menjumpai gari dan dadah bernilai RM100.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.