Empat lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah menggunakan aplikasi WeChat dan polis turut merampas dadah bernilai lebih RM880,000 dalam satu serbuan di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, serbuan pertama membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di hadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh pada jam 9.40 pagi, 22 April lalu.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek yang menaiki sebuah kereta menemui sejumlah pil dipercayai Ecstacy dianggarkan seberat 3.49 kilogram (kg) bernilai RM240,000 dan wang tunai RM270.

"Susulan penahanan berkenaan, polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Batu Caves, Selangor pada hari sama dan menemui pelbagai jenis dadah antaranya Erimin 5 dan Ketamin yang dianggarkan bernilai RM645,000.

"Polis kemudian turut menahan tiga lelaki serta seorang wanita berusia dalam lingkungan 26 sehingga 31 tahun di sebuah rumah di Taman Selayang Baru, Batu Caves pada 6.30 petang," katanya di sini.

Katanya, polis merampas wang tunai berjumlah RM26,000, sebuah kereta jenis Mercedes E200 dianggarkan bernilai RM70,000 dan sebuah kereta jenis Honda HRV bernilai RM65,000.

Beliau berkata, seorang suspek berusia 31 tahun turut mengaku urusan jual beli dadah dibuat menggunakan aplikasi WeChat dan bayaran dibuat semasa penghantaran.

Mazlan berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah, wang tunai dan kereta dianggarkan RM1.09 juta.