Tiga pengarang The Malaysian Insider (TMI) yang ditahan berikutan laporan berita berhubung keputusan Majlis Raja-Raja mengenai isu hudud, mendapat layanan secara profesional dan memuaskan ketika dalam tahanan.

Peguam Syahredzan Johan berkata TMI tidak berdepan sebarang masalah ketika berurusan dengan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandangkan kerjasama penuh telah diberikan oleh semua pihak.

Beliau berkata selain penahanan Pengarang Urusan, Lionel Morais; Pengarang Rencana dan Analisis, Zulkifli Sulong; dan Pengarang Berita, Amin Iskandar, polis juga telah mengambil keterangan dari lima kakitangan TMI.

BACA : Tiga pengarang portal berita TMI telah dibebaskan

"Mereka yang lima itu adalah seorang penterjemah, seorang staf sumber manusia, seorang pengurus IT dan dua sub-editor."

Apabila ditanya sekiranya TMI akan menarik balik artikel kontroversi yang bertarikh 25 Mac, Syahredzan berkata tiada apa-apa tindakan yang akan dilakukan setakat ini.

"Setakat ini pihak SKMM belum lagi mengarahkan untuk menarik balik artikel itu," kata beliau.

Mengulas mengenai penahanan penerbit The Edge Ho Kay Tat dan Ketua Eksekutif portal berita itu Jahabar Sadiq di bawah Akta Hasutan, Syahredzan berkata pihak peguam akan berhujah habis-habisan untuk memastikan kedua mereka dibebaskan secepat mungkin.

BACA : Selepas 3 pengarang, penerbit The Edge dan CEO TMI pula ditahan polis

"Kesemua maklumat dan informasi telah pun diberikan termasuklah kandungan imej, jadi tiada sebab lagi bagi kedua-dua Ho Kay Tat dan Jahabar untuk diberikan reman," katanya.

Beliau berkata permohonan reman untuk Jahabar dan Ho Kay Tat akan dibacakan pada 11 pagi esok.

Baca : NGO bidas tindakan polis tahan pengarang berita

Portal berkenaan dalam satu laporan pada Khamis lepas mendakwa Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 Mac menolak cadangan meminda akta dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud.

Namun pada hari yang sama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan segera mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pindaan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Kelantan melibatkan Majlis Raja-Raja.

Beliau telah berkata soal berkaitan pindaan itu hanya tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama negeri.

Ekoran itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas laporan portal terbabit.