Seorang Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya di sini jam 4.30 petang semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM, tangkapan dibuat terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai membabitkan tuntutan palsu bagi program anjuran KEMAS.

Kata kenyataan itu lagi, tuntutan itu disyaki mengandungi butiran palsu membabitkan pembekalan makan, minum dan peralatan kursus.

"Selain itu, tuntutan penyelenggaraan kenderaan jabatan yang disyaki mengandungi butiran matan palsu kerana dipercayai tiada penyelenggaraan yang dilaksanakan selain tuntutan bagi program atau kursus tidak dijalankan dengan sempurna.

"Siasatan juga dilakukan membabitkan kes tuntutan palsu bagi program atau kursus bersama masyarakat di 11 parlimen seluruh Kelantan yang dipercayai berlaku pada tahun lepas serta pelantikan ahli keluarga terdekat sebagai pembekal perolehan dan perkhidmatan dengan KEMAS Kelantan," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat megikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan permohonan dibacakan dihadapan Penolong Kanan Pendaftar, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

"Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.